Thursday, December 26, 2013

Seluar Jerut



Mood nak menjahit sudah datang! Alhamdulillah sebelum balik kampung, siap juga sehelai seluar tidur untuk anaknda Syahir Naufal. Kali ni saya buatkan tanpa getah, cuba yang jerut-jerut pula.

Ketika sedang ralit menjahit, tiba-tiba dia datang di sebelah saya. Memerhati saya menjahit. "Mama, harap-haraplah Fatin pun boleh menjahit macam Mama" katanya.

Fatin adalah rakan sekelas Syahir Naufal sejak dia di tahun 1 Hamzah lagi. Mereka masih sekelas ketika di tahun 2 Ali bin Abi Talib dan 3 Abdurrahman bin Auf. Tapi di tahun 4 nanti mereka terpisah kelas. Syahir Naufal di kelas 4 Khalid Al-Walid.

Mulanya dulu saya tidak suka bila anak saya bercerita mengenai Fatin. Pada saya ini bukan masa yang sesuai. Akhirnya dia hanya akan bercerita dengan ayahnda dia saja. Saya cuma dapat mendengar kisahnya dari kekanda suami.

Saya berfikir, cuba mencari sesuatu yang baik. Dengan ilmu yang ada, saya yakin dapat membimbing anak saya.

Saya tanya, "kenapa Syahir suka Fatin?". Mulanya dia terkejut, mungkin tak sangka saya nak tanya. Katanya, "sebab Fatin tu berpakaian seperti Mama. Gaya tudung dia, pakai baju sopan, pakai stokin tangan.."

Saya yakinkan Syahir Naufal, tidak salah kalau suka tapi pertama sekali Syahir Naufal kena suka & cintakan Allah, kemudian Rasul, Mama, Papa dan adik-adik.

Saya dan kekanda suami membesarkan anaknda-anaknda kami lillahi ta'ala. Kami serahkan mereka ini kepada Allah. Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk beribadah.

Sunday, December 22, 2013

Mama & Papa



Projek penutup untuk tahun 2013. Alhamdulillah siap juga akhirnya bantal yang pada mulanya hanya untuk dijadikan hiasan katil. Tapi nampak gayanya ada yang berkenan buat peneman mimpi.

Sebenarnya sudah lama saya tidak menyentuh sewing machine dan overlock. Memandangkan Che Awang Bongsu sudah pandai bermain dengan kakak dan abang, inilah peluang saya.

Pernah satu ketika dahulu, ketika Che Awang Bongsu baru pandai merangkak, dia telah menekan paddle overlock saya. Apalagi, habis putus benang-benang! Sangat 'bercinta' untuk memastikan benangnya 'dikait' dengan baik.

Cross stitch adalah satu hobi yang tidak dapat saya tinggalkan. Selesai segala kerja rumah, waktu rehat saya suka memegang benang dan menyulam. Tapi saya juga rindukan smocking. Mungkin bila ada peluang saya suka nak belajar untuk menjahit bead.

Wednesday, January 30, 2013

Untuk Iza.



Ini adalah buah tangan buat seorang sahabat saya yang meninggalkan bumi Kerteh pada December lepas. Sebenarnya, ini adalah koleksi 'pinggan' yang saya kumpul. Daripada 10 'pinggan', saya baru ada 7 'pinggan'. 3 daripadanya saya jadikan buah tangan untuk sahabat ni.

Bila kita bercerita mengenai perpisahan, ia adalah sesuatu yang menyedihkan. Tambahan apabila persahabatan ini dibina berlandaskan agama Allah, kasih sayang yang terhasil amatlah tulus dan ikhlas. Dalam persahabatan kami tidak perlu kata mengata, fitnah memfitnah untuk menjadi rapat. Cukuplah keikhlasan pasti silaturrahim ini berpanjangan, InshaAllah.

Sahabat seorang ini saya kenali ketika 'berbulatan gembira'. Wah! Bulatan gembira ini sungguh menggembirakan. Ketika itu masing-masing mengendong anak-anak kecil dan suasana ketika berbulatan gembira boleh dibayangkan-MERIAH! Sampai satu ketika, Ustazah terpaksa menghentikan halaqah kami lebih awal dari biasa. Ada ketikanya, Ustazah mengajak kami bermain game. Gamatnya suasana. Tetapi apabila hari itu Ustazah menyediakan segmen yang menyentuh hati, kami berlinangan airmata.. Emmm.. apa jua keadaan, ianya menjadikan kami semakin rapat dari hari ke hari.. Bukan sahaja ketika berbulatan gembira, tetapi ketika kami saling menziarahi.

Kini, anak-anak kecil kami sudah 'besar'. Masing-masing sudah ke sekolah dan tadika. Malah ramai sahabat yang berhijrah mengikut suami ke tempat lain. Suasana ketika berbulatan gembira sunyi. Hanya kedengaran suara Ustazah.. Dan saya sungguh rindu suasana meriah itu. Yang pasti, kerana Allah kami bertemu dan kerana Allah jua kami berpisah. Semoga kami semua akan dipertemukan lagi dalam keadaan yang lebih baik.