Monday, July 14, 2014

Oder Sebelum Raya.


Alhamdulillah. Dua buah beg sedia untuk penghantaran. Semoga tuannya gembira.

Wednesday, July 2, 2014

Beg Sulam Ribbon


Alhamdulillah! Syukur Allah permudahkan urusan menyiapkan dua biji beg sulam ribbon. 

Saya minat dengan ribbon embroidery beberapa tahun lepas. Mulanya saya membeli sebuah buku import di Kinokuniya. Saya cuba untuk menyulam tetapi gagal. 

Dua tahun lepas, seorang sahabat menwar-warkan tentang kelas sulam ribbon yang diusahakan oleh Kolej Komuniti dengan seorang guru sulam ribbon yang terkenal-Puan Halina Hadi. 

Rupanya kita perlu berguru. Alhamdulillah, banyak yang saya belajar dari beliau. Bukan setakat belajar sulam ribbon tetapi dapat ilmu membuat beg dan secara tak langsung dapat juga beberapa resepi-resepi.

Sekarang saya sudah dapat menyiapkan beberapa tempahan beg sulam ribbon. Semoga Allah permudahkan segala urusan saya.

Wednesday, January 15, 2014

Beach Ball


Beach ball untuk Che Awang Bongsu, Saeif Ziyad Najwan.. Saya buatkan beach ball ini ketika Saeif Najwan berumur 5 bulan. Lihatlah, dia sangat gembira memegang bola yang lembut itu. Bukan sahaja lembut kerana loose fibre bahkan bola ini ada loceng di dalamnya. jadi setiap kali Saeif Najwan bergerak sambil memegang bola pasti berbunyi! Sehingga kini Saeif Najwan masih bermain dengan beach ballnya.

Anak-anak adalah permata yang dititipkan buat insan yang bergelar ibu dan bapa. Sebagai seorang ibu, sudah pasti saya mahukan yang terbaik berdasarkan kemampuan saya dan kekanda suami. Yang terbaik itu tidak semestinya harus dibeli dan dibayar dengan harga yang mahal.

Dulu, saya tidak pandai menjahit. Semasa kelas Ekonomi Rumahtangga untuk sesi menjahit, saya rasa bukan saya seorang sahaja yang terkial-kial atau menyampah dengan kelas yang memerlukan penelitian ini, tapi ramai sahabat-sahabat yang lain sependapat dengan saya. Jangan kiralah kalau ada yang dijahit senget benget dan tetas menetas, semua harus dilalui sebagai pelajar sekadar untuk memenuhi pemintaan kerja kursus bagi PMR.

Tapi sekarang, saya sangat suka menjahit. Saya sudah tidak terkial-kial menggunakan mesin jahit!

Wednesday, January 1, 2014

Salam 2014!


Coin purse! Atas permintaan anak bujang yang baru nak belajar berniaga.

Saya menggunakan perca-perca kain lebihan dari projek-projek yang lepas serta zip 4 inci. Dengan bantuan Sizzix Big Shot!, saya dapat menghasilkan bunga di keychain.

Coin purse berukuran 8cm panjang, 3cm tinggi dan 7cm lebar ini berharga rm4.50.

Projek permulaan tahun 2014! Semoga Allah memberkati segala urusan kita. Jom tingkatkan amalan, upgrade ibadah-Allah matlamat kita!

Thursday, December 26, 2013

Seluar Jerut



Mood nak menjahit sudah datang! Alhamdulillah sebelum balik kampung, siap juga sehelai seluar tidur untuk anaknda Syahir Naufal. Kali ni saya buatkan tanpa getah, cuba yang jerut-jerut pula.

Ketika sedang ralit menjahit, tiba-tiba dia datang di sebelah saya. Memerhati saya menjahit. "Mama, harap-haraplah Fatin pun boleh menjahit macam Mama" katanya.

Fatin adalah rakan sekelas Syahir Naufal sejak dia di tahun 1 Hamzah lagi. Mereka masih sekelas ketika di tahun 2 Ali bin Abi Talib dan 3 Abdurrahman bin Auf. Tapi di tahun 4 nanti mereka terpisah kelas. Syahir Naufal di kelas 4 Khalid Al-Walid.

Mulanya dulu saya tidak suka bila anak saya bercerita mengenai Fatin. Pada saya ini bukan masa yang sesuai. Akhirnya dia hanya akan bercerita dengan ayahnda dia saja. Saya cuma dapat mendengar kisahnya dari kekanda suami.

Saya berfikir, cuba mencari sesuatu yang baik. Dengan ilmu yang ada, saya yakin dapat membimbing anak saya.

Saya tanya, "kenapa Syahir suka Fatin?". Mulanya dia terkejut, mungkin tak sangka saya nak tanya. Katanya, "sebab Fatin tu berpakaian seperti Mama. Gaya tudung dia, pakai baju sopan, pakai stokin tangan.."

Saya yakinkan Syahir Naufal, tidak salah kalau suka tapi pertama sekali Syahir Naufal kena suka & cintakan Allah, kemudian Rasul, Mama, Papa dan adik-adik.

Saya dan kekanda suami membesarkan anaknda-anaknda kami lillahi ta'ala. Kami serahkan mereka ini kepada Allah. Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk beribadah.

Sunday, December 22, 2013

Mama & Papa



Projek penutup untuk tahun 2013. Alhamdulillah siap juga akhirnya bantal yang pada mulanya hanya untuk dijadikan hiasan katil. Tapi nampak gayanya ada yang berkenan buat peneman mimpi.

Sebenarnya sudah lama saya tidak menyentuh sewing machine dan overlock. Memandangkan Che Awang Bongsu sudah pandai bermain dengan kakak dan abang, inilah peluang saya.

Pernah satu ketika dahulu, ketika Che Awang Bongsu baru pandai merangkak, dia telah menekan paddle overlock saya. Apalagi, habis putus benang-benang! Sangat 'bercinta' untuk memastikan benangnya 'dikait' dengan baik.

Cross stitch adalah satu hobi yang tidak dapat saya tinggalkan. Selesai segala kerja rumah, waktu rehat saya suka memegang benang dan menyulam. Tapi saya juga rindukan smocking. Mungkin bila ada peluang saya suka nak belajar untuk menjahit bead.

Wednesday, January 30, 2013

Untuk Iza.



Ini adalah buah tangan buat seorang sahabat saya yang meninggalkan bumi Kerteh pada December lepas. Sebenarnya, ini adalah koleksi 'pinggan' yang saya kumpul. Daripada 10 'pinggan', saya baru ada 7 'pinggan'. 3 daripadanya saya jadikan buah tangan untuk sahabat ni.

Bila kita bercerita mengenai perpisahan, ia adalah sesuatu yang menyedihkan. Tambahan apabila persahabatan ini dibina berlandaskan agama Allah, kasih sayang yang terhasil amatlah tulus dan ikhlas. Dalam persahabatan kami tidak perlu kata mengata, fitnah memfitnah untuk menjadi rapat. Cukuplah keikhlasan pasti silaturrahim ini berpanjangan, InshaAllah.

Sahabat seorang ini saya kenali ketika 'berbulatan gembira'. Wah! Bulatan gembira ini sungguh menggembirakan. Ketika itu masing-masing mengendong anak-anak kecil dan suasana ketika berbulatan gembira boleh dibayangkan-MERIAH! Sampai satu ketika, Ustazah terpaksa menghentikan halaqah kami lebih awal dari biasa. Ada ketikanya, Ustazah mengajak kami bermain game. Gamatnya suasana. Tetapi apabila hari itu Ustazah menyediakan segmen yang menyentuh hati, kami berlinangan airmata.. Emmm.. apa jua keadaan, ianya menjadikan kami semakin rapat dari hari ke hari.. Bukan sahaja ketika berbulatan gembira, tetapi ketika kami saling menziarahi.

Kini, anak-anak kecil kami sudah 'besar'. Masing-masing sudah ke sekolah dan tadika. Malah ramai sahabat yang berhijrah mengikut suami ke tempat lain. Suasana ketika berbulatan gembira sunyi. Hanya kedengaran suara Ustazah.. Dan saya sungguh rindu suasana meriah itu. Yang pasti, kerana Allah kami bertemu dan kerana Allah jua kami berpisah. Semoga kami semua akan dipertemukan lagi dalam keadaan yang lebih baik.